PEMBENTUKAN KATA - IMBUHAN BAHASA ASING
Pembentukan kata baharu telah berlaku sejajar dengan pertambahan bidang ilmu dan ikhtisas. Proses pertambahan imbuhan dalam Bahasa Melayu berlaku bagi memenuhi keperluan semasa Bahasa Melayu sendiri. Sebaagai alternatifnya, unsur-unsur dalam imbuhan bahasa asing telah dipinjam sama ada diterima dengan sepenuhnya atau diubah suai mengikut sistem tatabahasa Bahasa Melayu (Nik Safiah Karim et al., 2015). Secara umumnya, terdapat tiga jenis imbuhan bahasa asing:
- Imbuhan daripada Sanskrit
- Imbuhan daripada Arab-Parsi
- Imbuhan daripada Yunani-Latin-Inggeris
IMBUHAN DARIPADA SANSKRIT
Bahasa Melayu banyak menerima pengaruh daripada Sanskrit mendorong kepada proses peminjaman kata dan pembentukan kata dengan pertambahan imbuhan. Pengaruh bahasa Sanskrit telah berlaku sejak abad ke-7 hingga abad ke-13, iaitu sekitar zaman bahasa Melayu Kuno. Penyebaran bahasa Sanskrit telah disumbang oleh para pedagang India yang berdagang di Kepulauan Melayu. Selain tiu, bahasa Sanskrit turut berkembang seiring dengan pengembangan agama Hindu dan Buddha oleh sami dan pendeta terhadap penduduk tempatan (Faridah Nazir et al., 2024). Imbuhan Sanskrit dapat dibahagikan kepada dua, iaitu imbuhan awalan dan akhiran.
IMBUHAN DARIPADA ARAB-PARSI
Arab-Parsi juga tidak ketinggalan dalam memperkenalkan imbuhan bahasa asing baharu dalam Bahasa Melayu. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu menjadi bukti jelas terhadap pengaruhnya dalam bahasa dan sastera Melayu. Sebahagian daripada perkataan Arab telah digunakan dalam bahasa Melayu dengan mengekalkan bentuk asalnya, manakala sebahagian yang lain disesuaikan bentuknya dengan sebutan Melayu. Imbuhan Arab-Parsi turut mengelaskan imbuhan kepada awalan dan akhiran. Namun, dalam penulisan blog ini, tiada contoh kesalahan penggunaan imbuhan yang dapat dikemukakan bagi imbuhan ni.
IMBUHAN DARIPADA YUNANI-LATIN-INGGERIS
Sejak abada ke-18, Bahasa Inggeris telah mula menyebarkan pengaruhnya dalam Bahasa Melayu. Pengaruh tersebut turut disumbang oleh pelbagai faktor termasuklah dasar bahasa pihak pemerintah Inggeris. Hal ini demikian kerana, para pemerintah Inggeris lebih mementingkan penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan pentadbiran mereka selain menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pemerintahan. Perkara ini turur berlaku dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu dalam usaha untuk meningkatkan jumlah penutur bahasa Inggeris dalam kalangan penduduk tempatan. Selain itu, peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarangsa turut menyumbang kepada perancangan bahasa Melayu menyerap istilah daripada bahasa Inggeris dalam usaha untuk memodenkan bahasa Melayu. Abbas Shariff (1986) menjelaskan bahawa telah menjadi satu keperluan utama bahasa Melayu dalam melakukan peminjaman kata mahupun istilah terhadap bahasa Inggeris lebih-lebih lagi berkaitan dengan pendidikan (Faridah Nazir et al., 2024).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan