IMBUHAN YUNANI-LATIN-INGGERIS





CONTOH KESALAHAN PADA IMBUHAN YUNANI-LATIN-INGGERIS


    1. Imbuhan awalan pro-


    Sumber : Instagram

Awalan pro- membawa maksud bersetuju dan menyebelahi sesuatu pihak. Lazimnya, apabila imbuhan awalan ini digandingkan bersama kata nama, maka ejaannya akan dirapatkan, misalnya 'prokerajaan'. Namun, sekiranya imbuhan awalan pro- diiringi dengan kata nama khas selepasnya, maka tanda sempang perlu diletakkan dengan huruf besar pada pangkal kata nama khas tersebut. Tangkap layar di atas menunjukkan kesalahan penggunaan imbuhan pro-, iaitu 'pro Palestin'. Oleh yang demikian, ejaan yang tepat bagi perkataan tersebut ialah 'pro-Palestin'.



2.    Imbuhan awalan anti-


Sumber : Instagram


Imbuhan awalan anti- berlawanan dengan awalan pro-, yang bermaksud menentang dan membantah. Anti- juga boleh disifatkan sebagai tidak menyebelahi sesuatu pihak. Kesalahan pada penggunaan imbuhan anti- telah dikesan melalui sumber media elektronik, menerusi hasil tangkap layar daripada aplikasi Instagram. Perkataan 'anti vaksin' perlu ditulis tanpa jarak , iaitu 'antivaksin'.


    3.    Imbuhan awalan infra-


Sumber : Sinar Harian

Awalan infra- melibatkan ejaan tanpa jarak dengan perkataan seterusnya. Kesalahan penggunaan imbuhan ini telah ditemui daripada laman sesawang Sinar Harian dengan ejaan 'infra merah'.Oleh itu, ejaan tepat bagi perkataan tersebut ialah 'inframerah'.
  

  4.    Imbuhan awalan sub-


Sumber : Perkhidmatan Awam Malaysia : Ke arah kecekapan dan kebersanan (Pembaharuan dan Kemajuan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia 1995)

Imbuhan sub- boleh diertikan sebagai bahagian atau kelompok bagi sesuatu perkara. Penggunaan imbuhan ini perlu dieja dengan rapat dengan perkataan seterusnya. Gambar diatas merupakan contoh kesalahan yang dikenalpasti daripada sumber media cetak pada perkataan 'sub-sektor'. Terdapat tanda sempang yang tidak perlu diletakkan yang menyebabkan ejaan tersebut tidak tepat. Maka, ejaan yang betul ialah 'subsektor'.


 5.    Imbuhan awalan inter- dan intra-


Sumber : Kajian Malaysia : Mobiliti Sosial dalam kalangan komuniti pesisir pantai : Kajian kes di Kuala Terengganu

Awalan intra- didefinisikan sebagai dalaman manakala awalan inter- pula membawa maksud antara. Penggunaan kedua-dua imbuhan ini adalah sama, iaitu perkataan yang digandingkan bersama-sama dengan imbuhan tersebut perlu dieja tanpa senggang. Berdasarkan kepada kesalahan yang dijumpai pada sumber media cetak di atas, iaitu 'inter-generasi' dan 'intra-generasi'. Kedua-dua perkataan tersebut telah dieja dengan tanda sempang yang sewajarnya dieja dengan rapat. Oleh itu, ejaan yang betul bagi kedua-dua perkataan tersebut ialah 'intergenerasi' dan 'intragenerasi'.



6.    Imbuhan awalan makro-


Sumber : Kajian Malaysia : Mobiliti Sosial dalam kalangan komuniti pesisir pantai : Kajian kes di Kuala Terengganu

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan awalan makro- sebagai besar atau menyeluruh (Pusat Rujukan Persuratan Melayu@PRPM, 2017).  Seperti imbuhan yang lain, imbuhan makro- juga memerlukan perkataan dieja dengan rapat. Kesalahan yang ditemui pada media cetak diatas adalah pada perkataan 'makro evolusi'. Oleh itu, ejaan yang tepat ialah 'makroevolusi'.


7.    Imbuhan awalan supra-


Sumber : Facebook

Awalan supra- menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud melebihi atau melewati sesuatu batas atau sempadan (Pusat Rujukan Persuratan Melayu@PRPM, 2017). Tangkap layar yang diperoleh daripada aplikasi Facebook menunjukkan kesalahan penggunaan imbuhan ini pada perkataan 'supra-nasional'. Penggunaan simbol sempang adalah tidak tepat kerana imbuhan ini perlu dieja dengan rapat. Oleh itu, ejaan yang betul bagi perkataan tersebut ialah 'supranasional'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan